monolog hamba-NYA

My photo
Seorang Hamba Allah dimuka bumi. Mom of 2 kids. A wife. A single daughter. An Engineer to a specialist contractor co. Semoga kita semua selamat melayari hidup ini dengan REDHA-NYA.

Friday, June 4, 2010

Ummah wajar bersatu halang kezaliman, keangkuhan musuh Islam

MUTAKHIR ini, Islam bukan saja diperangi secara fizikal malah segenap penjuru yang ada. Perosak umat Islam sentiasa menunggu masa untuk merapuhkan pegangan terhadap akidah yang tidak boleh dikongsi ini, kerana mereka tahu banyak ruang yang ada untuk melemahkan pegangan umat Islam dalam beragama.


Tragedi terbaru yang menimpa aktivis pro-Palestin dalam misi membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza adalah bukti kezaliman rejim Tel Aviv terhadap konvoi yang memperjuangkan hak asasi manusia sedunia, yang bukan dimiliki oleh kaum atau bangsa tertentu saja, sebaliknya turut dikongsi seluruh manusia di dunia.
Walaupun ia tidak semestinya memerangi individu Muslim, keganasan yang dilakukan jelas menunjukkan kebencian pengganas antarabangsa berkenaan terhadap warga Palestin yang sedang dibangunkan semula di Gaza.
Undang-undang antarabangsa hak asasi manusia bermatlamat supaya setiap manusia selamat daripada sengsara peperangan. Ia juga bertujuan mengembalikan keyakinan mereka terhadap jaminan hak yang asas kepada setiap individu serta memelihara keamanan serta keselamatan antarabangsa.

Kegagalan untuk mematuhi garis panduan global ini sedikit sebanyak berpunca daripada sikap berat sebelah pihak berkuasa yang memandang ringan keganasan yang dilakukan terhadap umat Islam dan sekutunya.

Jelas, pelbagai konvensyen dan peruntukan undang-undang sedia ada harus dinilai semula sekiranya wujud keraguan mengenai keberkesanan pelaksanaannya yang tidak memberi untung kepada negara yang menyokong keamanan.

Bagi umat Islam, setiap keganasan adalah kesalahan dan wajib dihapuskan. Tidak ada istilah keganasan sesama makhluk yang diiktiraf oleh mana-mana agama, hatta karma alam sekali pun. Sebab itulah kanun antarabangsa dirangka untuk menterjemahkan pemeliharaan hubungan baik antara negara di dunia seperti diperintah agama.
Malangnya tidak semua patuh kepada undang-undang. Justeru, sebagai individu Muslim yang menyintai kebenaran dan keamanan, setiap antara kita wajib membuat persediaan dan meneguhkan keupayaan dengan segala kekuatan yang ada.

Paling utama, semua harus dilakukan dengan penuh keikhlasan supaya balasannya sempurna seperti dijanjikan oleh Allah SWT dalam Surah al-Anfal ayat 60 yang mafhumnya: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh)
segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa saja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”.

Sudah tentu tidak cukup sekadar menentang keganasan dengan hati. Sudahlah lemah dan berpecah belah kerana umat Islam tidak selalunya meraikan perbezaan fikrah sebagai rahmat, wujud orde Islam yang tidak bersungguh-sungguh menentang keganasan terhadap negara Islam lain.

Inilah yang menjadikan usaha dan agenda umat Islam sentiasa dikhianati, dizalimi dan dicerobohi oleh mereka yang kuat dan perkasa. Sikap biadap, angkuh dan zalim yang dilakukan oleh tentera Israel ke atas rakyat dan negara Palestin serta aktivis pengaman jelas menunjukkan hal yang demikian. Peliknya, dunia hanya memandang sepi atas apa yang berlaku di bumi Palestin.

Dalam menghadap kemelut ini, umat Islam perlu menyatupadukan pemikiran, sokongan moral dan material yang tidak berbelah bahagi. Kita tidak boleh berdiam diri di atas apa yang dilakukan puak pelampau terhadap Palestin dan aktivis kemanusiaan.

Apatah lagi puak Zionis sendiri tidak pernah melupakan hasrat untuk menakluk dan menguasai dunia dengan kekejamannya. Sekurang-kurangnya dengan berdoa kepada Allah SWT, semua kekejaman ini dapat dihentikan dengan segera dan tidak akan berulang pada masa akan datang.

Firman Allah yang bermaksud “Dan kamu tidak dibalas melainkan (dengan balasan yang sepadan) dengan apa yang kamu kerjakan.” (Surah As-Saffat, ayat 39)

Penulis ialah pensyarah kanan Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom

p/s: artikel di petik dari berita harian online

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komen yang mampu membina..
Semoga bermanfaat untuk semua..

Jom Istighfar:Astaghfirullah-al-Aziim.